Hadap

Hari Ahad. Aku bangun awal daripada kebiasaan hari Ahad yang sepatutnya. Aku kena kerja hari ini. Overtime. Pengurus mahu segerakan siap dua mesin ASAM daripada sebelas unit yang ada. Itu mahu digunakan untuk training.

Aku clock in sembilan setengah pagi di komputer. Nak start run aku lupa pulak code projek mesin ASAM. Aku tak pedulikan, kemudian pon boleh key in start run. Aku naik assembly hall two. Aku gegas gunakan tangga daripada lif. Kurang kurang boleh bakar kalori yang aku dah kumpul. Nasi lemak pagi tadi pon aku rasa sudah separuh dibakar masa aku naik ke atas.

Daripada celahan antara pintu dan lantai aku dapati ianya kelam. Tidak gelap sangat, masih ada cahaya cuma cahaya itu semacam jauh. Dari situ aku dapat rasakan tiada orang di kawasan kerja aku. Aku dapat rasakan kesunyian.

Aku kuak pintu dan aku memang betul intiusi aku. Kosong. Tiada orang di kawasan mesin yang perlu aku kerjakan ada. Kemudian aku terperasan di sebelah kawasan mesin aku, ada orang. Ada technician sedang buat kerja di mesin CBK. Lega juga aku rasa. Aku nampak lagi seorang enginner dan techinician di kawasan kerja dekat dengan laluan ke tandas. Ramai juga, getus aku walaupon sebenarnya cuma kami ber-empat - termasuk aku di assembly hall two.

Aku buka sweater dan letak sekali dengan beg aku di rak bahagian bawah sekali. Aku angkat toolbox bawa ke tepi mesin. Aku tengok tengok dulu wire wire yang kena aku sudahkan. Aku pandang keliling pula. Celaka betul la yang lain, getus hati aku. Semua yang berjanji dalam team kerja aku tak datang. Yang mana ada hal aku boleh terima lagi. Yang bukan main lagi berjanji tapi tak datang, itu yang buat aku marah. Nak balik aku tidak punya apa perancangan. Kosong hidup aku. Nak teruskan kerja tapi keseorangan. Aku mula kerut dahi memilih.

Ah, kerja je lah. Aku pilih untuk teruskan kerja. Alang alang dapat juga aku duit lebih, tambah lagi kata hati aku. Itu cuma ayat untuk motivasikan diri. Duit. Aku keluarkan handphone, masuk ke bahagian Music dan mainkan set playlist lagu yang sudah aku susun. Aku pasang max volume. Aku tak kisah yang lain nak kata apa. Ini lagu selera aku. Aku yang nak dengar.

Wire cutter. Ferrus clamp. Precision set screwdrivers. Blower. Pisau. Aku letak merata antara mesin dan toolbox aku. Kadang kala aku tercari cari lupa di mana aku letak tools aku, padahal ada di depan mata. Di lantai wire insulation berwarna kelabu hitam coklat biru bersepah hasil daripada kerja aku strip-kan wire wire sensor. Aku tengok IO board kecil itu sudah siap aku cucuk masuk wire wire sensor itu semua, siap sekali dengan label. Aku buat sekali tidy up. Senang. Kalau tidak masa nak buy off baru nak buat tidy up memang kelam kabut jadinya. Banyak kali sudah aku merasa bahana tidy up sebegitu. Lagi pon aku suka kerja yang aku buat nampak kemas dan teratur.

Aku tengok jam. Sudah hampir enam jam aku buat kerja. Aku skip lunch hour. Aku fikir biar habis semua kerja terus aku balik makan. Technician mesin CBK sudah pulang waktu lunch hour. Engineer di hujung sana bersama dengan technician masih ada membuat kerja. Tadi waktu lunch hour, waktu mereka semua tiada aku tinggal seorang diri. Aku rasa macam di perangkap dalam satu bilik luas yang kosong dan cuma satu sudut saja lampu terpasang. Walau pon di siang hari aku terasa seram sejuk. Mungkin lebih kepada rasa sunyi dan rindu. Rindukan interaksi manusia. Sepanjang aku buat kerja, aku hanya fokus ke kerja. Aku tidak tegur orang. Hanya aku, mesin dan tools aku. Juga lagu lagu yang aku mainkan daripada handphone aku.

Selepas 5S aku tengok lagi hasil kerja aku kemudian aku lekas pulang. Aku pandang daripada tingkap kaca masa nak turun tangga ke assembly hall one, langit mendung nak hujan. Aku tak mahu tempuh basah hujan. Jadi aku kena cepat. Sial!! Masa aku nak clock out pulak komputer di kaunter ini nak jammed. Aku tunggu dia recover kemudian cepat cepat aku clock out.

Masuk sahaja ke lorong rumah aku tengok kereta tiada. Tiada orang di rumah. Keseorangan lagi aku. Aku parkir motor dan masuk ke dalam rumah. Aku tak tanggal helmet dan stokin sebab aku tahu tiada makanan di rumah tapi aku nak pastikan juga. Aku angkat tudung saji. Yang ada cuma lah pinggan kosong dengan sisa tulang ayam. Mengeluh. Aku sarung kembali kasut sambil berfikir apa yang hendak aku makan. Aku berkira kira kalau makan di McD sedap juga. Sudah tiga bulan aku puasa fast food. Kali terakhir aku makan fast food masa itu pon kerana terpaksa, sebab tiada pilihan lain lagi aku nak makan. Aku check dompet aku. Makan mamak pon sedap juga. Aku ubah fikiran bila lihat isi kandungan dompet aku.

Di kedai mamak aku ambil masa untuk habiskan makanan. Duduk seorang diri mengadap skrin tv yang tergantung dengan gambar yang tak berapa clear. Macam haram setting kata aku. Lepas bayar aku tak fikir banyak, terus balik rumah. Aku tiada arah tuju lain. Aku melangkah berat masuk ke dalam. Suanana mati di dalam rumah. Aku naik tingkat atas, masuk bilik lalu tanggalkan kain kain yang membaluti tubuh aku. Capai tuala terus aku ke tandas. Selepas keluar tandas aku berdiri di depan pintu bilik. Aku rasa masa terhenti ketika itu.

Di dalam bilik, aku berdiri di depan cermin bertuala. Aku cuma tenung refleksi diri aku di dalam cermin. Aku tenung dalam dalam. Fikiran aku masa itu aku tidak tahu berlegar di mana. Satu hari ini aku ingat kembali memang kosong dan kurang interaksi manusia. Aku tak banyak bercakap. Boleh kira patah perkataan yang aku sebut. Aku capai seluar pendek sarung dan hempas badan aku ke atas katil. Aku tak mengantuk mahu pon letih, cuma aku sudah mati akal. Tidur sahajalah yang aku fikirkan mampu selesaikan segala perasaan dan pikiran yang aku rasa ketika itu. Esok aku akan lalui kitaran yang sama seperti hari hari kebiasannya.

Dan aku akan nantikan hari esok dan seterusnya dengan akal yang terbuka dan jiwa yang lebih realistik.

No comments: