Sering kali nama panggilan 'Orang Tua' terpacul pada entri entri aku kebelakangan ini, ianya juga mungkin akan kerap terpanggil lagi di masa hadapan. Nama ini sebagai sudah menjadi suatu punca untuk saya lebih kerap ber-blog. Jadi aku ingin merungkai mengapa dan bagaimana nama tersebut mampu menjadi sumber inspirasi untuk bercerita dan juga menjadi bahan penghibur hati (baca:lawak) dikala kebosanan.
Berbanding dengan nama Higue dan Ipan-nama ini mesti muncul berkembar dengan skandalnya-nama Orang Tua ini lebih memberi inspirasi untuk aku untuk bercerita. Jika Higue muncul dengan dialog dialog semasa yang spontan yang mencuit hati, sinis, dan gelap antara saya dan dia, Orang Tua lebih kepada perbuatan spontannya sendiri yang mampu mencuit perasaan komedi orang sekeliling.
Jika dibanding lagi dengan Ipan pula yang mana kemunculannya hanya apabila terdapat fakta menarik yang dapat digunaka untuk mengutuk serta mengejek beliau, Orang Tua tidak perlukan fakta untuk dijadikan bahan cerita serta kutukan. Beliau bagaikan satu imej statik yang mana jika berkelip mata sekali pon mampu menjadi suatu cerita yang mampu menggeletek satu alam. Beliau bagaikan suatu sumber yang lain daripada yang lain. Tanpa perlukan sokongan serta bantuan daripada pihak kedua mahu pon ketiga, beliau mampu menjadi suatu gambaran hidupan seharian manusia.
Ditambah lagi dengan sifat jujur serta naif beliau yang mengamalkan prinsip "malu bertanya sesat jalan", beliau boleh membuat fakta fakta menarik yang kesahihan kadang kala akan kita ragui; tetapi itulah sifat terpuji yang kita selalu lupakan sebagai manusia norma. Prinsip yang diamalkan beliau juga kadang kala boleh membuatkan kita terfikir bahawasanya manusia itu tidak sempurna, seperti mana contoh; beliau akan bertanya suatu perihal itu sedangkan ianya tanpa berselindung, terang lagi bersuluh, sebesar besarnya di depan mata beliau. Ini satu perkara yang melambangkan sifat sebenar manusia yang tidak sempurna; iaitu kita sentiasa tidak nampak dengan nikmat yang dihidangkan kepada kita, namun asyik memberontak meminta minta.
Tanpa mempedulikan kata kata sinis daripada orang sekeliling, beliau meletakkan tahap mentaliti beliau di suatu tahap dimana kita boleh gelar sebagai "tak tahu malu" di suatu tahap yang baru. Kita sentiasa memandu hidupan kita berdasarkan idealogi orang, namun beliau sentiasa dengan pendirian beliau walau pon benda tersebut dengan sahihnya, tanpa perlu diragui, sejujur jujurnya, dengan keyakinan yang tinggi dan seratus peratus adalah SALAH. Namun pendirian diri itu adalah penting dan kata kata orang sekeliling itu hanya untuk menjatuhkan kita, maka beliau menjadi dirinya yang sebenar.
Diteruskan lagi dengan dirinya yang senantiasa berusaha untuk menaik taraf dirinya, tidak kira daripada segi kesihatan, kehidupan, mahu pon umur beliau.
Selingan: Untuk pengetahuan para pembaca, beliau-Orang Tua-tidaklah terlalu tua sebenarnya untuk digelar Orang Tua. Bahkan ramai lagi teman teman yang seumur dengannya dan juga lebih tua daripada beliau. Namun nama panggilan ini melekat untuk mengingati beliau, teman teman, dan juga kita semua bahawa kita semua akan tua suatu hari nanti. Maka, tibanya waktu itu kita hendaklah berperangai seperti sehendaknya. Tetapi sayangnya bagi beliau dan sedikit sesalan daripada kami semua teman teman, beliau tidak berperangai seperti sehendaknya.
Usaha usaha yang dijalankan oleh beliau walau pon separuh jalan namun semangat untuk terus berusaha itu harus dipuji. Kerja kerja mahu pon perniagaan yang dijalankan beliau berprogres separuh sahaja bukanlah kerana malas tetapi akibat daripada teman teman sekeliling yang tidak memberi sokongan daripada segi moral mahu pon kewangan. Beliau tetap juga dengan pendirian beliau, namun, kereta pon tidak mampu berjalan jika tiada minya dan minyak juga tidak akan terisi jika tangan tidak menghulur duit, begitulah jua keadaan dirinya. Tetapi itulah dirinya yang sentiasa berusaha tidak kira apa keadaan sekali pon.
Cukuplah sampai di sahaja huraian aku ke atas seorang manusia yang jujur dan naif, yang menjadi sumber inspirasi kepada diri aku mahu pon kepada orang sekeliling beliau.